Amir dan Amirah
menghadapi masalah rumahtangga yang rumit dan rasa tawar hati untuk meneruskan
perkahwinan mereka. Sedangkan mereka berkahwin atas dasar cinta serta direstu
kedua-dua pihak keluarga. Usia perkahwinan mereka hampir masuk 10 tahun. Walau
bagaimanapun, Amirah masih dalam dilema untuk membuat permohonan cerai di
Mahkamah. Ikutkan hati Amirah memang ingin bercerai tetapi apabila memikirkan
nasib dua orang anak mereka menyebabkan beliau tangguh dulu hasrat hati. Apatah
lagi Amir tidak mahu melafazkan talaq kepada Amirah secara baik. Oleh itu,
Amirah telah pergi ke Mahkamah Rendah Syariah di Shah Alam, Selangor dan
menceritakan masalah rumahtangganya dengan Amir kepada seorang pekerja Mahkamah yang bertugas di kaunter. Dalam sesi
rundingcara tersebut, petugas Mahkamah tersebut telah menasihatkan Amirah untuk
memohon perceraian melalui fasakh kerana berdasarkan cerita beliau, Amir yakni
suami Amirah telah memenuhi alasan-alasan dalam peruntukkan undang-undang.
Alasan yang digunakan oleh Amirah adalah Amir cuai memberi nafkah lebih dari
tiga bulan, Amir lazim menyakiti dan menjadikan kehidupan beliau menderita dari
segi emosi dan fizikal dan juga Amir berperangai keji apabila mempunyai
hubungan sulit dengan perempuan lain.

Fasakh bermaksud
pembubaran perkahwinan disebabkan oleh kecacatan yang wujud pada pasangan sama
ada pada lelaki (suami) mahupun kecacatan pada wanita (isteri).
Langkah pertama
yang perlu diambil oleh Amirah ialah beliau hendaklah mengisi borang permohonan
perceraian melalui fasakh yang diperuntukkan di bawah seksyen 53 Enakmen
Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 di Mahkamah. Borang
permohonan tersebut merangkumi saman dan penyata tuntutan dan perlu dibuat
dalam tiga (3) salinan iaitu satu salinan untuk Mahkamah, Amir dan Amirah.
Setiap salinan borang permohonan tersebut juga hendaklah dilampirkan bersama dokumen-dokumen
yang diperlukan seperti salinan kad pengenalan Amirah, sijil nikah Amirah dan
Amir, sijil kelahiran anak-anak, laporan polis, laporan perubatan sekiranya
ada. Bayaran bagi set lengkap permohonan fasakh tersebut adalah sebanyak
RM25.00.
Kemudiannya,
Amirah diberi pilihan untuk menyerahkan permohonan tersebut kepada Amir secara kediri ataupun
melalui Mahkamah yang mana penghantar notis Mahkamah yang akan menyerahkan
saman permohonan tersebut kepada Defendan. Cuma bayaran akan dikenakan
sekiranya penyerahan dibuat oleh Mahkamah dan masa yang diambil agak lama. Sekiranya
Amir tinggal di luar kawasan Selangor maka Amirah hendaklah membuat permohonan
saman luar bidangkuasa terdahulu di Mahkamah sebelum membuat serahan kepada
Amir.
Setelah Saman dan
Penyata Tuntutan fasakh tersebut berjaya diserahkan kepada Amir maka Mahkamah
akan menyiapkan Afidavit Penyampaian sebagai bukti serahan saman telah berjaya
dan Amir tahu tarikh sebutan pertama kali di Mahkamah. Pada tarikh sebagaimana
yang tercatat dalam saman tersebut, Amirah dan Amir hendaklah datang ke
Mahkamah. Amir juga perlu menjawab tuntutan fasakh oleh Amirah secara bertulis.
Kemudiannya, Amirah pula diberi peluang untuk menjawab Pembelaan Amir yang
dipanggil Jawapan Kepada Pembelaan. Setelah lengkap pliding-pliding tersebut
(Saman dan Penyata Tuntutan, Pembelaan dan Jawapan Kepada Pembelaan) barulah hakim akan bagi satu tarikh untuk perbicaraan. Namun, kebiasaannya hakim
akan mengarahkan pihak-pihak melantik Peguam Syarie kerana perjalanan prosiding
fasakh amatlah sukar bagi yang tidak tahu prosedur Mahkamah dan perjalanan kes
dalam jangka masa yang panjang.
Semasa peringkat
sebutan bagi menyempurnakan pliding, sekiranya Amir tidak hadir sebanyak tiga kali
Amirah boleh mohon kepada Mahkamah untuk perbicaraan secara sebelah pihak.
Prosiding masih sama di mana bermula dengan keterangan Amirah yang akan disoal
oleh peguam Syarie yang dilantik dan Mahkamah juga akan menyoal Amirah
sekiranya perlu. Kemudiannya diteruskan dengan keterangan saksi-saksi Amirah
yang akan disoal oleh Peguam Syarie Amirah dan Mahkamah. Cuma kelebihan
perbicaraan sebelah pihak ini tidak ada soalan soalbalas dari pihak Amir atau Peguam
Syarienya dan menjimatkan masa Mahkamah untuk membuat keputusan setelah Peguam
Syarie Amirah menfailkan hujah penggulungan secara bertulis.
Kemudiannya,
Hakim akan menetapkan satu tarikh untuk keputusan. Pada hari keputusan ini
Amirah diwajibkan hadir kerana Hakim akan perintah beliau untuk bersumpah yang
dipanggil sebagai Sumpah Istizhar. Sumpah ini perlu bagi menguatkan
keterangan Amirah kerana tanpa kehadiran Amir.
Kesan daripada
perceraian secara fasakh ini adalah apabila Mahkamah mensabitkan fasakh ke atas
Amirah maka beliau dan Amir tidak boleh ruju’ atau berbaik semula. Namun,
mereka boleh berkahwin semula dengan akad baru walaupun ianya dilangsungkan
semasa tempoh menunggu (eddah).
p/s: kisah ini mungkin boleh menjadi pedoman dan panduan buat mereka yang menghadapi situasi seperti di atas..selamat membaca dan saya sedia menerima komen-komen anda..;)