Selamat Datang ke Senyuman Manis

http://www.emocutez.com
Memaparkan catatan dengan label Artikel. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Artikel. Papar semua catatan

Khamis, 30 Ogos 2012

Bila Sayang Hilang di Hati


Amir dan Amirah menghadapi masalah rumahtangga yang rumit dan rasa tawar hati untuk meneruskan perkahwinan mereka. Sedangkan mereka berkahwin atas dasar cinta serta direstu kedua-dua pihak keluarga. Usia perkahwinan mereka hampir masuk 10 tahun. Walau bagaimanapun, Amirah masih dalam dilema untuk membuat permohonan cerai di Mahkamah. Ikutkan hati Amirah memang ingin bercerai tetapi apabila memikirkan nasib dua orang anak mereka menyebabkan beliau tangguh dulu hasrat hati. Apatah lagi Amir tidak mahu melafazkan talaq kepada Amirah secara baik. Oleh itu, Amirah telah pergi ke Mahkamah Rendah Syariah di Shah Alam, Selangor dan menceritakan masalah rumahtangganya dengan Amir kepada seorang pekerja  Mahkamah yang bertugas di kaunter. Dalam sesi rundingcara tersebut, petugas Mahkamah tersebut telah menasihatkan Amirah untuk memohon perceraian melalui fasakh kerana berdasarkan cerita beliau, Amir yakni suami Amirah telah memenuhi alasan-alasan dalam peruntukkan undang-undang. Alasan yang digunakan oleh Amirah adalah Amir cuai memberi nafkah lebih dari tiga bulan, Amir lazim menyakiti dan menjadikan kehidupan beliau menderita dari segi emosi dan fizikal dan juga Amir berperangai keji apabila mempunyai hubungan sulit dengan perempuan lain.


Fasakh bermaksud pembubaran perkahwinan disebabkan oleh kecacatan yang wujud pada pasangan sama ada pada lelaki (suami) mahupun kecacatan pada wanita (isteri).

Langkah pertama yang perlu diambil oleh Amirah ialah beliau hendaklah mengisi borang permohonan perceraian melalui fasakh yang diperuntukkan di bawah seksyen 53 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 di Mahkamah. Borang permohonan tersebut merangkumi saman dan penyata tuntutan dan perlu dibuat dalam tiga (3) salinan iaitu satu salinan untuk Mahkamah, Amir dan Amirah. Setiap salinan borang permohonan tersebut juga hendaklah dilampirkan bersama dokumen-dokumen yang diperlukan seperti salinan kad pengenalan Amirah, sijil nikah Amirah dan Amir, sijil kelahiran anak-anak, laporan polis, laporan perubatan sekiranya ada. Bayaran bagi set lengkap permohonan fasakh tersebut adalah sebanyak RM25.00.

Kemudiannya, Amirah diberi pilihan untuk menyerahkan permohonan  tersebut kepada Amir secara kediri ataupun melalui Mahkamah yang mana penghantar notis Mahkamah yang akan menyerahkan saman permohonan tersebut kepada Defendan. Cuma bayaran akan dikenakan sekiranya penyerahan dibuat oleh Mahkamah dan masa yang diambil agak lama. Sekiranya Amir tinggal di luar kawasan Selangor maka Amirah hendaklah membuat permohonan saman luar bidangkuasa terdahulu di Mahkamah sebelum membuat serahan kepada Amir.

Setelah Saman dan Penyata Tuntutan fasakh tersebut berjaya diserahkan kepada Amir maka Mahkamah akan menyiapkan Afidavit Penyampaian sebagai bukti serahan saman telah berjaya dan Amir tahu tarikh sebutan pertama kali di Mahkamah. Pada tarikh sebagaimana yang tercatat dalam saman tersebut, Amirah dan Amir hendaklah datang ke Mahkamah. Amir juga perlu menjawab tuntutan fasakh oleh Amirah secara bertulis. Kemudiannya, Amirah pula diberi peluang untuk menjawab Pembelaan Amir yang dipanggil Jawapan Kepada Pembelaan. Setelah lengkap pliding-pliding tersebut (Saman dan Penyata Tuntutan, Pembelaan dan Jawapan Kepada Pembelaan) barulah hakim akan bagi satu tarikh untuk perbicaraan. Namun, kebiasaannya hakim akan mengarahkan pihak-pihak melantik Peguam Syarie kerana perjalanan prosiding fasakh amatlah sukar bagi yang tidak tahu prosedur Mahkamah dan perjalanan kes dalam jangka masa yang panjang.

Semasa peringkat sebutan bagi menyempurnakan pliding, sekiranya Amir tidak hadir sebanyak tiga kali Amirah boleh mohon kepada Mahkamah untuk perbicaraan secara sebelah pihak. Prosiding masih sama di mana bermula dengan keterangan Amirah yang akan disoal oleh peguam Syarie yang dilantik dan Mahkamah juga akan menyoal Amirah sekiranya perlu. Kemudiannya diteruskan dengan keterangan saksi-saksi Amirah yang akan disoal oleh Peguam Syarie Amirah dan Mahkamah. Cuma kelebihan perbicaraan sebelah pihak ini tidak ada soalan soalbalas dari pihak Amir atau Peguam Syarienya dan menjimatkan masa Mahkamah untuk membuat keputusan setelah Peguam Syarie Amirah menfailkan hujah penggulungan secara bertulis.

Kemudiannya, Hakim akan menetapkan satu tarikh untuk keputusan. Pada hari keputusan ini Amirah diwajibkan hadir kerana Hakim akan perintah beliau untuk bersumpah yang dipanggil sebagai Sumpah Istizhar. Sumpah ini perlu bagi menguatkan keterangan Amirah kerana tanpa kehadiran Amir.

Kesan daripada perceraian secara fasakh ini adalah apabila Mahkamah mensabitkan fasakh ke atas Amirah maka beliau dan Amir tidak boleh ruju’ atau berbaik semula. Namun, mereka boleh berkahwin semula dengan akad baru walaupun ianya dilangsungkan semasa tempoh menunggu (eddah).

p/s: kisah ini mungkin boleh menjadi pedoman dan panduan buat mereka yang menghadapi situasi seperti di atas..selamat membaca dan saya sedia menerima komen-komen anda..;)