Selamat Datang ke Senyuman Manis

http://www.emocutez.com

Jumaat, 17 Februari 2012

Bertemu di Pintu King Abdul Aziz

Saya merenung awan di luar tingkat kapal terbang Gurf Air menuju ke Bahrain. Penerbangan kali ini akan transit di Bahrain sebelum meneruskan perjalanan ke Jeddah. Hati saya rawan dan bergelora hebat. Terasa tak sabar nak melihat Kaabah depan mata dan jauh hati dengan seseorang yang akhirnya membawa saya ke tanah suci lagi. Apakah tepat tindakan saya ini? Persoalan ini berlegar di ruangan fikiran yang sesak dengan pelbagai masalah. Tetapi saya yakin dan percaya apabila seseorang hamba dijemput sebagai tetamuNya, sudah pasti dipermudahkan segalanya sekalipun secara logik akal kewangan tidak mencukupi. Yang penting terpanggil untuk berada di rumah Allah. Labbaikallahummalabbaik..saya membaca talbiah berulang kali melahirkan rasa syukur dipilih sekali lagi menjadi tetamu Nya disaat yang getir ini. Alhamdulillah yang mampu diucap dalam hati. Perjalanan selama lapan jam dari KLIA, Malaysia terasa seperti lapan tahun. Saya banyak termenung sepanjang perjalanan sehinggalah juruterbang memaklumkan kapal terbang akan mendarat dalam beberapa minit lagi. Syukur separuh perjalanan musafirku telah dipermudahkan. Berbaki separuh lagi untuk menyempurnakan umrah. Saya dan penumpang lain turun dari kapal terbang ini untuk berehat selama tiga jam sebelum meneruskan penerbangan ke Jeddah. Di kesempatan ini saya ambil peluang untuk solat jamak takdim dan qasar Zohor dan Asar. Sampai di Jeddah nanti saya dan rombongan yang lain akan menziarahi Madinah dahulu selama tiga hari Kemudian barulah ke Mekah.

Tiba di Madinah hampir waktu Subuh. Selesai mandi dan menyusun barang, saya terus ke Masjid Nabawi untuk solat berjemaah Subuh. Nyaman dan damai sekali perasaan saya. Lupa semua perihal kerja dan keserabutan masalah yang bertimpa. Betapa saya bersyukur kerana diberi peluang untuk menjejak kaki di sini lagi. Hanya tiga hari saya berada di Madinah. Sempat jugalah membeli sedikit kurma dan kismis untuk keluarga di Malaysia. Hari akhir di Madinah, hati sebak sewaktu ucap selamat tinggal pada Rasulullah saw. Melambai-lambai dalam keadaan air mata menitis. Sungguh murah air mataku sejak hari pertama tiba di tanah haram. Pasti saya akan merindui Masjid Nabawi. Makam Rasulullah saw berada bersebelahan masjid mulia ini.

Akhirnya, sekali lagi saya dapat melihat Kaabah depan mata. Sayunya hati ini saat mula-mula nampak kiblat umat Islam. Mungkin kali ini kehadiran saya dalam situasi yang lemah dan hampir berputus asa menyebabkan hati saya begitu sensitif dan mudah mengalirkan air mata. Biarlah saya selesa begitu. Air mata boleh mengurangkan bebanan masalah yang saya tanggung sekarang ini. Selesai berdoa saya terus menyempurnakan ibadat umrah saya bermula niat ihram, tawaf tujuh keliling Kaabah, saie antara bukut Safa dan Marwah dan diakhiri dengan tahlul yakni gunting beberapa helai rambut. Kemudiannya, saya menunaikan beberapa solat sunat dan mengelilingi Kaabah semula untu tawaf sunat. Selesai ibadat umrah untuk hari ini. Esok saya akan mencium Hajarul Aswad pula. Kedudukan hotel saya menginap berdekatan dengan Masjidil Haram tetapi saya lebih selesa menghabiskan masa berada dalam Masjidil Haram. Di waktu senggang saya akan minum air zam zam dan solat sunat. Kadang-kadang saya merenung Kaabah seolah-olah saya tidak berdepan dengan masalah. Tenang dan damainya hati saya. Inilah hikmah berada di rumah Allah yang penuh barakah. Segala keresahan, kebimbangan, kesedihan malahan kekecewaan yang keterlaluan mengundang hikmah sehingga saya berada di tanah suci. Syukur ya Allah kerana masih menyayangi hambaMu yang lemah lagi hina ini. Saya masih diberi  untuk menjejak kaki ke tempat suci yang penuh berkat dan mengabdikan diri padaMu ya Allah. Semoga hambaMu ini akan bertemu jodoh di sini. Itu pintaku lewat doa-doa yang dibaca. 

Selanjutnya adalah ziarah di Jabal Rahmah. Ya inilah tempat yang saya tunggu-tunggu untuk berdoa tentang jodoh. Mak ayah juga berpesan sewaktu menghanatr saya di KLIA dulu supaya berdoa dipermudahkan temu jodoh semasa di Jabal Rahmah. Di sinilah tempat pertemuan semula Nabi Adam dan Siti Hawa setelah diturunkan ke dunia akibat terpedaya dengan godaan iblis. Betapa lemah dan hinanya saya rasa diri ini. Bertempat di puncak Jabal Rahmah, saya titipkan doa untuk bertemu dengan pemilik sebenar tulang rusukku di pintu King Abdul Azizi di Masjidil Haram sebelum pulang ke tanah air. Saya berdoa dengan bersungguh-sungguh untuk mendapat jodoh yang terbaik bagi melayari bahtera rumahtangga aman bahagia dengan insan istimewa tersebut. Selesai sudah hajat saya untuk berdoa di Jabal Rahmah. Kini, saya hanya perlu berdoa dan terus berdoa sehinggalah doa saya dimakbulkan. Sepanjang berada di Mekah saya tidak putus-putus melakukan solat sunat Istikharah memohon petunjuk dan ditetapkan hati supaya ditemukan jodoh yang baik untuk saya. Salah satu sebab saya membawa hati yang lara ke tempat mulia ini. Saya semakin kuat menghadapi kekecewaan dalam hidup.

Esok merupakan hari terakhir saya berada di Mekah dan dijangka penerbangan saya ke Malaysia jam 3.00 petang dariu Jeddah. Saya mengambil peluang keemasan untuk melakukan ibadat-ibadat sunat sebanyak yang mungkin dan berdoa seolah-olah tiada esok untuk saya. Terasa sedih pula hendak meninggalkan Kaabah. Pasti saya akan merindui untuk menatap Kaabah depan mata. Kesedihan mula bertapak di hati saya walaupun masa masih panjang menunggu hari esok. Sambil merenung Kaabah setelah berdoa, terlintas di fikiran saya wajah seseorang yang tidak disangka-sangka. Saya tersenyum sambil mendoakan kesejahteraan beliau. Semoga dia juga mengingati saya sekarang. Sementara menunggu azan Asar saya sempat membuat tawaf sunat sendirian dengan kusyuk. Setelah selesai solat berjemaah dan solat jenazah saya berkira-kira ingin pulang ke hotel untuk rehatkan diri. Sewaktu lalu di pintu King Abdul Aziz saya telah ditegur oleh satu suara yang cukup saya kenal. Baru sahaja saya terkenangkannya tadi. Takkanlah orangnya dah muncul depan saya. Terdetik di hati satu perasaan halus yang saya tak pasti apa rasanya. Bila saya mendongak alangkah terkejutnya bila kata hati saya benar. Ya Allah, apakah maksud yang tersirat di sebalik pertemuan ini?

Sewaktu saya mula melangkah masuk di pintu King Abdul Aziz Masjidil Haram bagi menunaikan solat Subuh berjemaah, sekali lagi saya bertemu dengan orang yang sama. Kami hanya berbalas senyuman sahaja. Kemudiannya, saya terus melangkah ke dalam masjid dan mencari saf di bahagian muslimat. Kira-kira jam 7 pagi saya melakukan tawaf wida' iaitu tawaf selamat tinggal sebelum berangkat ke Jeddah. Sayu hati sewaktu melambai ke arah Kaabah. Benarlah Allah memakbulkan doa Nabi Ibrahim yang berdoa apabila umat Islam datang ke tempat barakah ini akan rindu untuk datang lagi ke sini. Subhanallah betapa berkuasanya Allah yang tidak dapat ditandingi mahkluk lain. Sekali lagi buat kali terakhir saya terserempak dengan insan yang sama tiga kali berturut di tempat yang sama pintu King Abdul Aziz. Adakah doa saya sewaktu di Jabal Rahmah dimakbulkan? saya tertanya-tanya dalam hati. Muka saya terasa panas dek kerana malu dengan pertemuan kali ini. Dada juga berdegup pantas. Dia tegur saya dengan kalimah salam. Senyuman yang terukir di bibirnya membuatkan saya terkedu dan kelu untuk membalas salamnya. Hanya menjawab dalam hati sahaja. Dia seorang yang cukup saya kenali. Benarlah, tiada yang mustahil dengan kasih sayang Allah.

p/s : ini adalah cerpen pendek pertama saya dalam blog ini. sila tinggalkan komen anda ye..;)

2 ulasan:

sufi berkata...

Dialog tak ada ke adik comey.hehehe...sambung lagi yea. macam best. apa yang berlaku seterusnya?

Senyuman Manis berkata...

idea spontan sehari..dialog lam hati je..hanya berbalas senyuman..guna body language je..hihi..nnt sy cari idea smbg cter ni ek..tahanks bg sokongan moral..;)